Kelab Bimbingan Frank Lampard Juarai Liga Kejuaraan 2025-26

April 22, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Coventry City FC bimbingan Frank Lampard mengesahkan gelaran juara bagi Liga Kejuaraan 2025-26 selepas berpesta gol menumpaskan Portsmouth pada aksi ke-44, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Kemenangan 5-1 hasil jaringan awal oleh Haji Wright (12’), gol berganda daripada Ephron Mason-Clark (47’, 76’), gol sendiri oleh Regan Poole (50’) dan jaringan pada masa kecederaan menerusi Kaine Hayden (90’+1) membolehkan Coventry mengumpul 89 mata. 

Biarpun masih berbaki dua perlawanan musim ini, jumlah pungutan mata oleh kelab berjulukan The Sky Blues itu sudah tidak mampu dipintas lagi oleh pencabar terdekatnya, Millwall FC yang mempunyai 79 mata.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan sulung yang dirangkul oleh Coventry selepas menjuarai Liga Satu pada musim 2019-20.

Menariknya, kejayaan menjulang mahkota kejuaraan bagi divisyen kedua bola sepak Inggeris ini hadir empat hari selepas Coventry mengesahkan promosi secara automatik ke saingan Liga Perdana (PL) 2026-27.

Itu merupakan promosi pertama diraih Coventry selepas tersingkir daripada kancah tertinggi bola sepak Inggeris sejak 25 tahun yang lalu.

Pada masa yang sama, ini merupakan pembabitan semula Lampard, 47 tahun, selaku pengendali kelab dalam kancah PL selepas berpisah dengan Chelsea di penghujung musim 2022-23.

Featured Image: Coventry City FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd