Harga Tiket Perlawanan Akhir Piala Malaysia Edisi Ke-99 Kekal

April 23, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Harga tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-99 pada 23hb Mei 2026 (Sabtu) kelak adalah kekal seperti edisi lalu, demikian pengumuman oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL).

Pentas akhir itu akan menemukan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab dari Borneo yang merekodkan kemaraan pertama ke perlawanan akhir Piala Malaysia, Kuching City FC.

Selain daripada mengekalkan struktur harga, MFL turut mengekalkan kategori penjualan tiket yang merangkumi GA50, GA70, Premium dan VIP.

“Meskipun berdepan dengan peningkatan kos penganjuran namun pihak MFL masih mengekalkan harga tiket empat kategori utama yang ditawarkan kepada penyokong kedua-dua pasukan.” 

“Struktur harga tiket masih sama seperti sebelum ini, dengan harga bermula RM50 dan RM70 bagi kategori General Admission (GA50 & GA70). Selain itu, tiket Premium ditawarkan pada harga RM150 manakala VIP Grandstand berharga RM200.”

“Dengan pengumuman awal harga tiket ini kami berharap penyokong JDT dan Kuching City FC dapat membuat persiapan awal dalam merancang perjalanan mereka ke TM Stadium Nasional untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.” 

“Apatah lagi bagi penyokong Kuching City FC yang bakal merasai pengalaman beraksi di pentas final buat kali pertama, MFL berharap informasi awal ini dapat memberi masa yang cukup untuk mereka membuat perancangan perjalanan dengan lebih teratur.” 

“Seperti amalan sebelum ini, bagi urusan penjualan tiket pula, ia akan diuruskan sepenuhnya oleh kedua-dua pasukan finalis. Kaedah ini dilihat lebih tersusun dan memberi peluang yang lebih adil kepada penyokong untuk mendapatkan tiket,” katanya.

JDT bimbingan Xisco Munoz mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas membantai skuad ibu kota yang juga merupakan juara pada tahun 2021, Kuala Lumpur City FC menerusi agregat 8-1.

Manakala Kuching City kendalian Aidil Sharin Sahak melakar kemaraan penuh bersejarah sejak penubuhan kelab itu apabila mengejutkan juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Selangor FC menerusi agregat 2-1.

Featured Image: MFL

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd