Kontrak Pan-gon, Selangor FC Jangka Masa Panjang

April 23, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Saingan bola sepak musim 2025-26 belum melabuhkan tirainya namun skuad berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC sudah mula membuat perancangan bagi musim hadapan bersama ketua jurulatihnya, Kim Pan-gon.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon memaklumkan pihaknya kini giat berbincang bersama jurulatih dari Republik Korea dan barisan kejurulatihannya terutamanya mengenai senarai awal melibatkan pembentukan pasukan bagi musim hadapan.

Pada masa yang sama, Dr. Johan turut menegaskan khidmat Pan-gon diikat oleh Selangor FC dengan kontrak jangka masa panjang, tanpa mendedahkan butiran tempoh kontak, sekaligus menamatkan desas-desus mengenai pemergian jurulatih berusia 56 tahun terbabit.

“Sudah pasti akan dikekalkan untuk musim hadapan,”

“Kita sudah mula merancang untuk musim hadapan, Coach Kim Pan-gon dan pasukannya sudah merancang untuk musim hadapan (dan) apa yang perlu dibuat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) melibatkan kedua-dua penajanya, UMW Lubetech dan Sani Express di Kilang UMW Lubetech di Pulau Indah.

Namun begitu, Dr. Johan menegaskan tumpuan utama Pan-gon masih berkisarkan kepada saingan musim ini dimana mereka mempunyai beberapa perlawanan penting yang perlu dihadapi.  

Skuad berjulukan Gergasi Merah itu bakal turun beraksi di peringkat separuh akhir Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee bertemu Nam Dinh FC dari Vietnam pada 6hb dan 13hb Mei masing-masing.

Sekiranya mencatatkan kemenangan, Selangor FC berpeluang untuk merebut trofi kejuaraan dalam perlawanan akhir yang turut berlangsung secara timbal balik pada 20hb dan 27hb Mei masing-masing.

Selain itu, mereka mempunyai baki tiga perlawanan lagi dalam kancah Liga Super bertemu Kelantan The Real Warriors FC, Penang FC dan PDRM FC. 

Pada saat ini, Selangor FC berada di tangga ketiga Liga Super berkongsi 43 mata dengan penghuni tangga kedua, Kuching City FC dan mereka menyasarkan untuk menamatkannya di kedudukan paling tinggi.

Featured Image: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd