Sawe Cipta Rekod Dunia, Lari 42.2KM Dalam Masa 1:59:30

April 27, 2026
Olahraga

Hafiz Omar

Atlet kelahiran Kenya, Sabastian Sawe mencipta satu sejarah selaku pelari pertama yang menamatkan acara maraton kompetitif sejauh 42.2 kilometer (KM) di bawah catatan masa dua jam.

Sawe, 31 tahun, mencipta rekod tersebut selepas menamatkan larian Maraton London 2026, pada Ahad, selaku juara dengan catatan masa satu jam 59 minit dan 30 saat. 

Catatan masa itu mengatasi rekod dunia larian maraton terpantas yang dilakukan oleh Kelvin Kiptum ketika beraksi di Maraton Chicago pada Oktober 2023 iaitu dua jam dan 35 saat – satu minit dan lima saat lebih pantas.

Sebagai rekod, kejayaan Sawe pada edisi kali ini turut membolehkannya mempertahankan kejuaraan yang dirangkulnya pada edisi lalu dengan catatan masa dua jam dua minit dan 27 saat.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by World Athletics (@worldathletics)

Bertambah menarik, London Maraton kali ini turut menyaksikan pelari Ethiopia, Yomif Kejelcha mengikuti jejak langkah Sawe dengan turut sama menamatkan larian sejauh 42.2km itu di bawah catatan masa dua jam.

Pelari yang bakal menginjak usia 29 tahun pada 1hb Ogos kelak itu menamatkan larian dengan catatan masa satu jam 59 minit dan 41 saat. Manakala tempat ketiga pula diraih oleh pelari Uganda, Jacob Kiplimo yang melintasi garisan penamat dengan catatan masa dua jam dan 28 saat. 

Untuk makluman, pada tahun 2019, pelari jarak jauh berstatus legenda, Eliud Kipchoge mencipta rekod sebagai individu pertama yang menamatkan larian maraton di bawah catatan masa dua jam.

Bagaimanapun, larian yang dilakukannya dalam masa satu jam 59 minit dan 40 saat itu tidak dipahat secara rasmi oleh badan induk, World Athletic kerana ianya dilakukan dalam sebuah acara khas yang tidak mengikuti piawaian acara larian kompetitif.

Featured Image: London Marathon

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd