Sultan Selangor Perkenan SUKMA 2026 Diteruskan – KBS

April 26, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor nampaknya akan diteruskan sepertimana dijadualkan bermula dari 15hb hingga 24hb Ogos.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu kenyataan media memaklumkan temasya dwitahunan itu diteruskan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Baginda memberi perkenan untuk meneruskan penganjuran SUKMA dengan langkah-langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah, setelah menerima menghadap Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada Khamis untuk membincangkan perkara itu.” tulis kenyataan oleh KBS sepanjang dua muka surat itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Taufiq Johari merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan Sultan Selangor.

Jelasnya SUKMA 2026 ini menjadi medan pemilihan dan persiapan atlet-atlet muda bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di Malaysia pada tahun hadapan.

Pada masa yang sama, beliau juga telah menerima perkenan untuk mengadap Sultan Selangor yang dijadualkan pada Rabu, 29hb April, bersama-sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor untuk memaklumkan perkembangan perancangan terkini berhubungan penganjuran SUKMA 2026.

Pada Isnin minggu lalu, Sultan Selangor ketika bertitah dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Keempat Dewan Negari (DUN) Selangor Ke-15 mencadangkan agar penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di asia barat selesai dan pembinaan Stadium Shah Alam yang baharu siap sepenuhnya.

Featured Image: SUKMA Selangor 2026

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd