11 Perubahan Utama Sistem Kiraan 15 Mata Badminton
Hafiz Omar
Badan induk, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan penggunaan sistem kiraan 3 x 15 mata selepas cadangan itu mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli-ahlinya pada Mesyuarat Agung Tahunan BWF Ke-87.
Dimaklumkan sistem kiraan mata baharu itu akan berkuat kuasa mulai musim 2027 atau secara tepatnya pada Isnin, 4hb Januari 2027.
Presiden BWF, Khunying Patama Leeswadtrakul berkata perubahan kepada sistem kiraan 3 x 15 mata ini berniat untuk menyajikan sukan badminton yang lebih mengujakan dan kompetitif, penjadualan yang lebih baik, tempoh perlawanan yang lebih konsisten dan potensi manfaat untuk kebajikan dan pemulihan pemain.
Pada masa yang sama, ianya menghadirkan detik bertekanan tinggi dengan lebih awal dan menghasilkan skor yang lebih rapat dan penamat yang lebih dramatik. Tambahnya, format ini turut bertujuan mengekalkan minat penonton dari rali pertama hingga yang terakhir.
📢 The #BWF membership has voted to approve the adoption of the 3×15 scoring system.
Read more 👉 https://t.co/DkFphb3fgo#badminton pic.twitter.com/18o22irlHf
— BWF (@bwfmedia) April 25, 2026
Selepas berkongsikan pengesahan dan kelulusan mengenai sistem kiraan baharu itu, BWF turut menyenaraikan 11 perubahan utama melibatkan sistem kiraan 3 x 15 mata dan ianya adalah seperti berikut:
- Perlawanan kekal dimainkan secara tiga set permainan.
- Setiap permainan dimainkan sehingga 15 mata menggantikan sasaran sebelumnya sebanyak 21 mata.
- Sistem kiraan rali tidak berubah, satu mata akan diberikan daripada setiap rali.
- Pada kedudukan 14-14, permainan itu akan ditentukan melalui kelebihan dua mata (deuce).
- Penetapan had maksimum 21 mata; pada kedudukan 20-20, mata yang seterusnya akan memenangkan set permainan itu.
- Pada set penentuan (set ketiga), pemain akan bertukar gelanggang apabila salah satu pihak mencapai 8 mata.
- Â Sela masa selama 60 saat diberikan apabila mata pendahulu mendapat 8 mata dalam sesuatu set permainan.
- Sela masa 120 saat antara set permainan kekal tidak berubah.
- Pihak yang memenangi sesuatu set permainan akan melakukan servis terlebih dahulu dalam set berikutnya.
- Â Sistem 3 x 15 menjadi sistem kiraan piawaian, sementara sistem 3 x 21 dikekalkan sebagai pilihan alternatif.
- Ahli Gabungan, kelab-kelab, liga-liga dan penganjur pertandingan domestik boleh memilih dan meluluskan sistem kiraan alternatif untuk pertandingan domestik.