Piala Uber: Malaysia Naib Juara Kumpulan B

April 28, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Skuad wanita Malaysia terpaksa berpuas hati menamatkan saingan peringkat Kumpulan B bagi Piala Uber 2026 selaku naib juara selepas tewas di tangan Jepun, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Kekalahan itu bermula dengan pertarungan pertama dimana Letshanaa Karupathevan tumpas kepada Akane Yamaguchi menerusi skor 19-21 dan 17-21.

Pada pertarungan kedua, gandingan Thinaah Muralitharan dan Ong Xin Yee pula mengalami kekalahan 9-21 dan 9-21 kepada Yuki Fukushima dan Mayu Matsumoto menjadikan Malaysia ketinggalan 0-2.

Pertarungan seterusnya, rentetan kekalahan itu berterusan apabila Wong Ling Ching gagal menjinakkan Tomoka Miyazaki yang berusia 19 tahun – tewas menerusi skor 16-21 dan 13-21.

Kedudukan semasa 0-3 itu telah mengesahkan status Malaysia selaku naib juara dan Jepun pula sebagai juara Kumpulan B.

Bagaimanapun pada pertarungan keempat, Malaysia berhasil memungut satu mata saguhati apabila Low Zi Yu dan Noraqilah Hassan berhasil menumbangkan Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi dalam perlawanan sengit yang berkesudahan dengan skor 21-17, 12-21 dan 21-19.

Pada pertarungan terakhir pula, Goh Jin Wei yang bermula dengan langkah kanan pada set pertama, menang 21-19, memberhentikan permainannya pada set kedua sekaligus memberikan mata kemenangan kepada Jepun.

Perlawanan berakhir dengan kedudukan 4-1 berpihak kepada Jepun.

Terdahulu, Malaysia telah mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir, yang pertama selepas 16 tahun, susulan merekodkan kemenangan bertemu Turki dan Afrika Selatan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd