Piala Thomas: Malaysia Tempah Slot Suku Akhir

April 27, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Skuad lelaki Malaysia mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Piala Thomas 2026 selepas menumbangkan Finland pada aksi kedua Kumpulan B.

Pertarungan dengan Finland itu bermula dengan langkah kiri apabila Leong Jun Hao dikejutkan oleh Joakim Oldorff yang menghuni tangga ke-60 dunia menerusi skor 17-21 dan 15-21.

Bagaimanapun, Malaysia berhasil bangkit menyamakan kedudukan 1-1 pada pertarungan kedua menerusi Justin Ho yang menumpaskan Kalle Koljonen dengan skor 21-14 dan 21-12.

Rentetan kemenangan itu diteruskan oleh bekas perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia yang mengalahkan Ananda Galvani Daniswara menerusi skor 21-19 dan 21-10.

Seterusnya, Malaysia mempertaruhkan gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin pada pertarungan keempat. Malaysia mudah mendapatkan mata ketiga daripada aksi ini apabila Sze Fei-Izzuddin mengalahkan Eliel Melleri dan Niilo Nyqvist dengan mudah menerusi skor 21-12 dan 21-15.

Pertarungan terakhir pula menyaksikan Malaysia menggunakan “scratch pair” Soh Wooi Yik dan Tee Kai Wun. Aksi terbabit turut sama dimenangi mudah oleh Malaysia dengan Wooi Yik-Kai Wun menamatkannya menerusi skor 21-7 dan 21-14.

Pertarungan berakhir dengan Malaysia meraih kemenangan 4-1 ke atas Finland.

Untuk aksi terakhir peringkat Kumpulan B, Malaysia dijadualkan menentang Jepun pada Rabu – bermula jam 4 petang – untuk merebut gelaran juara kumpulan. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd