Astro Kembali Siar Secara Langsung Perlumbaan MotoGP

April 28, 2026
MotoGP

Hafiz Omar

Stesen televisyen berbayar, Astro mengumumkan kembalinya siaran langsung serta liputan mengenai perlumbaan motosikal premier, MotoGP sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama sukan.

Menerusi satu kenyataan, Astro memaklumkan baki 18 perlumbaan MotoGP musim 2026 akan dapat ditonton menerusi Astro Grandstand (saluran 810) dan Astro Sports Plus (saluran 817) serta penstriman melalui Astro GO dan Sooka.

18 perlumbaan itu terdiri daripada perlumbaan di Perancis, Catalan, Itali, Hungary, Czech, Belanda, Jerman, Britain, Aragon, San Marino, Austria, Jepun, Indonesia, Australia, Malaysia, Qatar, Portugal dan Valencia.

Seperti kebiasaan, liputan perlumbaan MotoGP oleh Astro bermula daripada sesi latihan, diikuti sesi kelayakan dan perlumbaan sprint sebelum menayangkan acara kemuncak pada hari perlumbaan melibatkan saingan kelas Moto3, Moto2 dan MotoGP.

Terdahulu, Marco Bezzecchi daripada pasukan Aprilia berhasil memenangi tiga daripada empat perlumbaan awal berturut-turut di Thailand, Brazil dan Amerika Syarikat.

Manakala dalam perlumbaan keempat musim ini di Sepanyol, Alex Marquez daripada pasukan Gresini Racing muncul juara sekaligus menghentikan rentetan kemenangan oleh Bezzecchi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd