Piala Thomas: Perancis Kekang Juara 14 Kali Ke Suku Akhir
Hafiz Omar

Perancis mencipta kejutan besar apabila menyingkirkan juara 14 kali, Indonesia dalam saingan Piala Thomas 2026 setelah menumpaskan mereka dengan keputusan 4-1 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Pertarungan itu bermula dengan Indonesia menurunkan Jonatan Christie untuk berhadapan dengan Christo Popov. Ianya berakhir dengan Popov melakar kemenangan menerusi skor 21-19 dan 21-14 sekaligus memberikan mata pertama buat Perancis.
Pada pertarungan kedua, Alwi Farhan menjadi taruhan Indonesia untuk berentap dengan Alex Lanier. Sekali lagi, Perancis berhasil meraih mata keduanya apabila Lanier mengalahkan Alwi menerusi skor 21-16 dan 21-19.
Pertarungan seterusnya, Anthony Sinisuka Ginting diturunkan untuk menentang Toma Junior Popov. Bekas perseorangan lelaki No.1 Indonesia itu bermula dengan langkah kanan apabila menang set pertama menerusi skor 22-20.
Bagaimanapun, pendahuluan itu tidak bertahan lama dan Popov berhasil bangkit mencipta kemenangan 21-15 pada set kedua sekaligus memaksa pertarungan itu dibawa ke set penentuan.
Set ketiga itu berlangsung sengit namun Popov berhasil meneruskan rentetan kemenangannya dengan menutup set itu dengan keputusan 22-20. Susulan keputusan itu, Perancis meraih mata ketiganya sekaligus muncul sebagai pemenang dan mengesahkan gelaran naib juara Kumpulan D – mengiringi Thailand ke peringkat suku akhir.
Biarpun sudah mengesahkan kemenangan dan gelaran naib juara, Perancis meneruskan rentaknya apabila gandingan Eloi Adam dan Leo Rossi turut mengalahkan Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani menerusi skor 21-19 dan 21-19.
Indonesia yang telah disahkan tersingkir berhasil mengelak daripada menanggung kekalahan yang lebih besar dan memalukan apabila beregu yang diturunkan pada pertarungan kelima, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri berhasil mencatatkan kemenangan saguhati bertemu Christo Popov dan Toma Junior Popov menerusi skor 21-18, 19-21 dan 21-11.