Ranking PSA: Sivasangari Jejak Tangga Kelima Dunia
Hafiz Omar
Susulan kejayaan merangkul kejuaraan Piala Grasshopper 2026, salah satu kejohanan tier emas dalam siri Jelajah Skuasy PSA, Sivasangari Subramaniam berhasil menjejakkan kaki buat julung kalinya di tangga kelima dalam Ranking Dunia bagi kategori pemain wanita.
Kejuaraan yang dirangkulnya pada awal pagi Isnin itu memberikannya 1,800 mata sekaligus menjadikan purata mata terkumpulnya sebanyak 1032 mata.

Purata mata itu melonjakkan kedudukan pemain kelahiran Kedah sebanyak satu anak tangga berbanding kedudukan keenam dunia yang dihuninya sebelum ini.
Pada masa yang sama, kenaikan itu juga mengangkat nama Sivasangari sebagai pemain Malaysia dan Asia yang pertama berada dalam kelompok lima terbaik dunia selepas dilakukan oleh legenda skuasy negara, Nicol David sekitar lapan tahun dan setengah yang lalu.
Sementara itu, tiada perubahan melibatkan kedudukan empat pemain terbaik dunia dan ianya kekal dihuni oleh Hania El Hammamy (Mesir), Nour ElSherbini (Mesir), Amina Orfi (Mesir) dan Olivia Weaver (Amerika Syarikat).

Featured Image: PSA Squash Tour