UCL: PSG, Bayern Cetak 9 Gol Aksi Pertama
Hafiz Omar

Paris Saint-Germain (PSG) dan Bayern Munich berpesta gol pada aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) yang berlangsung pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Pertemuan ke-16 melibatkan kedua-dua pasukan itu bermula pendahuluan oleh Bayern menerusi penalti oleh Harry Kane pada minit ke-17.
Namun begitu, pendahuluan itu tidak bertahan lama dan pemain sayap lincah, Kvicha Kvaratskhelia pula menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-24 untuk menjadikan kedudukan semasa 1-1.
Selang sembilan minit kemudian, giliran PSG yang beraksi di laman sendiri pula mendahului permainan apabila Joao Neves menanduk masuk bola ke dalam gawang.
Pertarungan menjadi semakin menarik apabila gerakan solo Michael Olise berhasil memasuki kotak penalti sebelum merembat masuk bola bagaikan peluru menerjah gawang lawan pada minit ke-41 dan menyeimbangkan semula kedudukan menjadi 2-2.
⚽ Paris 0-1 Bayern München (Kane, 17′)
⚽ Paris 1-1 Bayern München (Kvaratskhelia, 24′)
⚽ Paris 2-1 Bayern München (João Neves, 33′)
⚽ Paris 2-2 Bayern München (Olise, 41′)
⚽ Paris 3-2 Bayern München (Dembélé, 45’+5)
⚽ Paris 4-2 Bayern München (Kvaratskhelia, 56′)
⚽…— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) April 28, 2026
Akan tetapi, PSG memastikan mereka memasuki bilik persalinan pada rehat separuh masa dengan pendahuluan 3-2 susulan ayam tambatannya, PSG, Ousmane Dembele menyempurnakan sepakan penalti pada minit 45’+5.
Bersambung babak kedua, PSG terus melebarkan kedudukan kepada 5-2 dengan menjaringkan dua gol dalam masa dua minit menerusi Kvaratskhelia dan Dembele pada minit ke-56 dan ke-58 masing-masing.
Pendahuluan itu tidak mematahkan semangat Bayern dan anak-anak buah Vincent Kompany meneruskan permainannya sehingga Dayot Upamecano dan Luis Diaz menjaringkan satu gol masing-masing pada minit ke-65 dan ke-68 masing-masing menjadikan kedudukan semasa 5-4.
Kedudukan itu kekal sehingga pengadil, Sandro Scharer dari Switzerland meniup wisel menamatkan permainan.
Untuk aksi timbal balik, Bayern akan melayan kunjungan PSG bimbingan Luis Enriqie di Allianz Arena pada 7hb Mei (Khamis) depan.
Featured Image: Paris Saint-Germain