UCL: Atletico, Arsenal Terikat 1-1 Menerusi Gol Penalti

April 30, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pertemuan Paris-Saint Germain (PSG) dan Bayern Munich pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menyajikan sembilan gol namun satu lagi aksi separuh akhir hanya merekodkan dua gol sahaja.

Ianya sama sekali tidak mengujakan sepertimana perlawanan di Paris bahkan jaringan pertembungan anak-anak buah Diego Simeone dan Mikel Arteta di Stadium Metropolitano turut terhasil menerusi sepakan penalti.

Arsenal terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan penalti oleh Viktor Gyokeres pada minit ke-44 – sebelum rehat separuh masa. Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil, Danny Makkelie selepas Gyokeres dijatuhkan oleh David Hancko.

Sebelas minit selepas bermulanya separuh masa kedua, Atletico pula berhasil menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Julian Alvarez.

Sepakan penalti itu susulan rembatan oleh Marco Llorente terkena tangan pertahanan Arsenal, Ben White di dalam kotak penalti.

Pada minit ke-78, Eberechi Eze dikasari oleh Hancko dan terjatuh di dalam kotak penalti. Pengadil yang melihat kejadian itu dengan mata kasarnya menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal.

Bagaimanapun, sepakan penalti itu diprotes oleh para pemain Atletico dan memaksanya untuk merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR). Selepas merujuk sistem berkenaan, Makkelie membatalkan sepakan penalti itu dan mengarahkan meneruskan permainan.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga Makkelie meniup wisel menamatkan permainan.

Aksi timbal balik kedua di Stadium Emirates pada 6hb Mei, awal pagi Rabu minggu hadapan.

Featured Image: Atletico Madrid

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd