Spurs Keluar Dari Zon Penyingkiran

May 4, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab utara London, Tottenham Hotspur berhasil keluar daripada zon penyingkiran selepas mengejutkan Aston Villa pada aksi ke-35 Liga Perdana (PL), awal pagi tadi.

Sebelum perlawanan, Spurs berada di tangga ke-18 dalam zon penyingkiran dengan 34 mata sementara pasukan di tangga ke-17, West Ham United kekal dengan pungutan 36 mata apabila tewas 0-3 di tangan Brentford pada Sabtu bagi aksi ke-35.

Dalam perlawanan bertemu Aston Villa, Spurs bimbingan Roberto de Zerbi bermula garang dengan menjaringkan gol pendahuluan menerusi Conor Gallagher seawal minit ke-12.

Tidak terhenti setakat itu, Spurs menggandakan jaringan, kini melalui Richarlison, pada minit ke-25 untuk menjadikan kedudukan semasa 2-0.

Sepanjang perlawanan itu, Spurs menguasai pelbagai aspek permainan seperti jumlah percubaan, percubaan tepat ke sasaran, kawalan bola, jumlah hantaran dan hantaran tepat.

Pendahuluan 2-0 itu bertahan hampir ke penghujung permainan namun Aston Villa sempat mencetak gol saguhati menerusi Emi Buendia pada minit 90+6.

Sejurus jaringan itu, pengadil, Sam Barrott meniup wisel menamatkan permainan dengan keputusan 2-1.

Hasil daripada kemenangan itu, Spurs berhasil merampas kedudukan ke-17 dan menolak West Ham United ke tangga ke-18 – zon penyingkiran.

Spurs mempunyai baki tiga perlawanan lagi iaitu bertemu Leeds United, Chelsea dan Everton.

Featured Image: Premier League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd