Inter Milan Raih Gelaran Juara Serie A Ke-21
Hafiz Omar

Inter Milan mengesahkan gelaran juara Serie A musim ini selepas mencetak kemenangan 2-0 ke atas Parma di Stadium Giuseppe Meazza atau turut dikenali sebagai San Siro, awal pagi tadi.
Kemenangan 2-0 anak-anak buah Cristian Chivu itu disumbangkan menerusi jaringan oleh Marcus Thuram pada minit 45+1 dan Henrikh Mkhitaryan pada minit 80.
Keputusan itu membolehkan Inter mengumpul 82 mata selepas mengharungi 35 perlawanan – berbaki tiga perlawanan lagi musim ini.
Pada masa sama, dua pencabar terdekatnya iaitu juara bertahan, Napoli dan seteru setempatnya, AC Milan keciciran mata pada Ahad.
Napoli kendalian Antonio Conte keciciran mata selepas diikat tanpa sebarang jaringan oleh Como 1907 bimbingan Cesc Fabregas.
Manakala, AC Milan pula tewas 0-2 ketika bertandang ke Stadium Mapei, Reggio Emilia bertemu Sassuolo.
Situasi itu menjadikan Inter yang mempunyai 82 mata sudah tidak dapat dipintas lagi oleh Napoli mahupun AC Milan biarpun tewas dalam baki perlawanan musim ini.
Sebagai rekod, ini merupakan gelaran juara ke-21 dikecapi oleh Inter dalam sejarahnya dan kali ketiga dalam enam musim yang lalu.
Featured Image: Lega Serie A