U Mobile Lantik Pearly & Thinaah Sebagai Duta Jenama
Hafiz Omar

Beregu wanita negara yang menghuni ranking kedua dunia, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan kini dilantik sebagai duta kepada jenama syarikat telekomunikasi tempatan, U Mobile.
U Mobile mengumumkan pelantikan pemain berusia 26 dan 28 tahun masing-masing itu sebagai dutanya pada hari ini selepas kejayaan pelancaran produk dan perkhidmatan Ultra5G-nya.
Dimaklumkan, pemilihan Pearly dan Thinaah yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel dan Sukan SEA kerana U Mobile percaya pelan pascabayar terbaharunya memenuhi keperluan gaya hidup peribadi dan sukan beregu ini.
Sebagai duta jenama, Pearly dan Thinaah akan menonjolkan pelan ULTRA Family 128 serba baharu yang menawarkan perayauan global terbina ke lebih 60 destinasi, panggilan masuk percuma ketika berada di luar negara serta perkongsian data untuk sambungan yang lancar semasa melancong.
Di Malaysia, pelan ini turut menyediakan akses keutamaan rangkaian di kawasan bertrafik tinggi seperti lapangan terbang dan stadium – memastikan sambungan yang konsisten walaupun dalam persekitaran sesak.
Bagi meraikan pelantikan ini, U Mobile akan menganjurkan sesi bertemu peminat khas bersama Pearly dan Thinaah. Peminat boleh mengunjungi Sunway Pyramid di kedai utama U Mobile pada 16hb Mei 2026 pada jam 1 petang hingga 4 petang.
Selain melantik Pearly dan Thinaah sebagai duta jenama, U Mobile juga tampil sebagai Rakan Acara Rasmi untuk Perodua Malaysia Masters 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 19hb hingga 24hb Mei kelak.