Como 1907 Bimbingan Fabregas Cipta Sejarah Ke Kancah Eropah
Hafiz Omar

Como 1907, sebuah kelab bola sepak milik konglomerat Indonesia iaitu Djarum bakal beraksi dalam kancah bola sepak eropah buat julung kalinya pada musim hadapan.
Kemaraan Como ke kancah bola sepak eropah itu ditempa selepas dua musim beraksi dalam saingan Serie A selepas muncul naib juara Serie B pada musim 2023-24.
Perkembangan itu hadir selepas kelab bimbingan Cesc Fabregas itu melakar kemenangan 1-0 ke atas Hellas Verona pada Ahad yang mengesahkan kedudukan keenam dengan mengumpul 65 mata dalam carta Serie A musim ini biarpun masih berbaki dua perlawanan.
Kemenangan itu hasil jaringan Anastasios Douvikas pada minit ke-71 yang mengambil peluang daripada kesilapan Andrias Edmundsson yang gagal menanduk keluar bola hantaran jauh daripada Marc-Oliver Kempf.
Penghuni tangga ketujuh, Atalanta yang mengumpul 58 mata daripada 36 perlawanan sudah tidak mampu memintas lagi kedudukan Como.

Untuk makluman, penghuni tangga keenam Serie A bakal meraih slot ke peringkat kelayakan Liga Konferens UEFA – kejohanan tier ketiga eropah.
Bagaimanapun, skuad berjulukan Bianco Blu masih berpeluang untuk menamatkan saingan Serie A di kedudukan yang lebih tinggi samada kelima, keempat, ketiga mahupun kedua – bergantung kepada keputusan melibatkan kelab-kelab di tangga kedua hingga kelima.
Berdasarkan kedudukan semasa, penghuni tangga kelima dan keempat iaitu AS Roma dan AC Milan masing-masing yang berkongsi 67 mata hanya berbeza dua mata sahaja berbanding Como.
Sementara itu, penghuni tangga ketiga, Juventus pula memiliki 68 mata – berbeza tiga mata berbanding Como.
View this post on Instagram
Napoli menghuni tangga kedua pula hanya berbeza lima mata berbanding Como – mengumpul 70 mata daripada 35 perlawanan.
Kelab yang menamatkan saingan Serie A di tangga kelima akan meraih slot ke peringkat kumpulan Liga Europa – kejohanan tier kedua eropah.
Kelab di tangga keempat pula akan mendapat slot ke peringkat kelayakan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sementara tangga ketiga dan kedua masing-masing akan layak secara automatik ke Fasa Liga UCL
Bagi baki dua perlawanan berikutnya, Como akan bertemu kelab tangga ke-13, Parma (17hb Mei) dan penghuni tangga ke-18, Cremonese (24hb Mei).
Sekiranya mencatatkan kemenangan dalam kedua-dua aksi tersebut, Como akan mengumpul 71 mata secara maksimum dalam kempen Serie A musim 2025-26.
Featured Image: Como 1907