Dembele Pertahan Anugerah Pemain Terbaik Perancis

May 12, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) merangkap pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele sekali lagi meraih anugerah Pemain Terbaik dalam kancah bola sepak Perancis selepas memenanginya pada musim lalu.

Penyerang sayap berusia 28 tahun itu meraih anugerah berkenaan selepas meledak 19 gol dan mencipta 10 bantuan gol dalam kancah domestik mahupun antarabangsa sepanjang musim ini.

Bekas pemain Borussia Dortmund dan Barcelona itu ternyata menjadi tonggak utama bagi skuad bimbingan Luis Enrique musim ini. Dembele memainkan peranan penting membantu PSG mendahului saingan Ligue 1 serta mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Anugerah itu dimenanginya dalam majlis Trophees UNFP du Football yang berlangsung di Paris, awal pagi tadi (waktu Malaysia). 

Dalam majlis yang sama, jaringan Dembele ketika bertemu Lille menerusi satu sungkitan di dalam kotak penalti turut dinobatkan sebagai Gol Terbaik Musim 2025-26. 

Sementara itu, rakan sepasukannya, Desire Doue, 20 tahun, merekodkan 13 gol dan mencetak 10 bantuan gol, mempertahankan anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan.

Manakala dua lagi anugerah lain iaitu Penjaga Gol Terbaik Tahunan dan Jurulatih Terbaik Tahunan dimenangi oleh Robin Risser dan Pierre Sage dari RC Lens masing-masing.

Featured Image: Paris Saint-Germain

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd