Pahang Mammoth Buru Promosi Ke STL Premier

May 12, 2026
Sepak Takraw

Hafiz Omar

Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSTP) memasang impian untuk membawa semula Pahang Mammoth ke pentas Liga Sepak Takraw (STL) Premier apabila memperkenalkan tujuh pemain baharu bagi menghadapi saingan STL Divisyen 1 musim 2026.

Antara tujuh pemain baharu yang diperkenalkan itu adalah pemenang pingat gangsa Sukan SEA, Muhammad Hairul Hazizi Haidir dan seorang pemain import dari Thailand, Pongsatorn Phong-Udtha.

Turut sama diperkenalkan dalam majlis yang berlangsung di Glenmarie pada Selasa adalah pemenang Piala KhirJohari 2026 bersama Selangor, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Muhammad Ariff Daniel Mohammad Aripin serta Norfaizzul Abd Razak.

Selain itu, dua pemain muda yang merupakan anggota skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang iaitu Mohamad Alif Najmi Mazaidan dan Muhammad Syazrul Aieriel Suparman turut ditandatangani sebagai sebahagian daripada projek pembangunan jangka masa panjang.

Kesemua pemain diberikan kontrak sehingga hujung tahun ini bagi memastikan mereka dapat memberikan tumpuan penuh kepada latihan dan persiapan untuk menghadapi musim baharu.

Untuk makluman, saingan STL Divisyen 1 musim ini dijadualkan berlangsung dari 7hb hingga 11hb Oktober hadapan.

Selain daripada pemburuan promosi ke saingan STL Premier, PSTP turut meletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan Piala Tun Ali 2026.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd