Kejuaraan Al Nassr Tertangguh, Bento Tertampan Bola Ke Dalam Gawang Sendiri
Hafiz Omar

Hasrat Al Nassr yang dibintangi Cristiano Ronaldo untuk menjuarai Liga Pro Saudi (SPL) 2025-26 tertangguh apabila penjaga golnya, Bento tertampan bola ke dalam gawang sendiri pada masa kecederaan.
Sebelum itu, Al Nassr bimbingan Jorge Jesus mendahului 1-0 ketika bertemu pencabar terdekatnya, Al-Hilal hasil jaringan Mohamed Simakan pada minit ke-37.
Pendahuluan itu sepatutnya memberikan Al Nassr kejuaraan sulung SPL sejak 2019.
Namun begitu, di penghujung masa kecederaan, sekitar minit 90+8’, kesilapan Bento yang mahu menumbuk keluar bola sebaliknya tertampan ke dalam gawang sendiri membuatkan Al-Hilal menyamakan kedudukan 1-1.
Sejurus sahaja jaringan itu, pengadil dari Lithuania, Donatas Rumsas meniup wisel menamatkan permainan dan Al Nassr terpaksa akur mengutip satu mata daripada aksi ke-33 liga itu.
Pertambahan satu mata itu menjadikan Al Nassr kini mempunyai 83 mata sementara Al-Hilal mengejar di tangga kedua dengan 78 mata namun kekurangan satu perlawanan berbanding Al Nassr.
Situasi ini menyaksikan Al Nassr sebelah kaki untuk bergelar juara namun gelaran itu terlucut jika Al Nassr tewas atau seri dalam aksi terakhirnya sementara Al Hilal mencetak dua kemenangan dalam dua aksi terakhirnya sambil mencetak enam gol tanpa bolos.
Featured Image: Al Nassr