Real Betis Kembali Ke Saingan UCL Selepas 2 Dekad

May 13, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Real Betis yang terletak dalam wilayah Andalusia bakal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim hadapan selepas dua dekad tidak beraksi dalam kejohanan elit benua eropah terbabit.

Betis bimbingan Manuel Pellegrini mengesahkan tempat selepas mengalahkan Elche 2-1 di lamannya sendiri, Estadio de La Cartuja, pada aksi ke-36 La Liga, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan Betis menduduki tangga kelima La Liga dengan kutipan 57 mata dengan berbaki dua perlawanan lagi musim ini.

Kutipan mata itu tidak dapat dipintas lagi oleh pencabar terdekatnya, Celta Vigo di tangga keenam yang kini mempunyai 50 mata daripada jumlah perlawanan yang sama.

Untuk makluman, La Liga meraih lima slot automatik ke saingan UCL musim 2026-27 susulan prestasi cemerlang kelab-kelab Sepanyol dalam pertandingan peringkat eropah merangkumi saingan Liga Europa dan Liga Konferens.

Kali terakhir Betis tampil dalam saingan UCL adalah pada musim 2005-06 dimana mereka tersangkut di peringkat Kumpulan G di bawah Liverpool dan Chelsea.

Featured Image: Real Betis Balompie

Β© 2025 Amanz Media Sdn Bhd