PSG Juarai Ligue 1 Lima Kali Berturut-Turut

May 14, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kejuaraan Ligue 1 musim 2025-26 sah menjadi milik Paris Saint-Germain (PSG) sekaligus melengkapkan rekod gelaran juara liga Perancis sebanyak lima kali berturut-turut.

Sejak penubuhannya pula, ini merupakan kejuaraan Ligue 1 kali ke-14 dimenangi oleh kelab berpangkalan di ibu kota Perancis itu.

Kejuaraan itu menjelma selepas PSG bimbingan Luis Enrique membenam pencabar terdekatnya, RC Lens dengan keputusan 2-0 dalam aksi ke-33, pada awal pagi tadi.

Dua jaringan itu disumbangkan oleh penyerang sayap lincahnya, Kvicha Kvaratskhelia (29’) dalam gol pada masa kecederaan oleh pemain gantian, Ibrahim Mbaye (90+3’).

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Paris Saint-Germain (@psg)

Kemenangan itu menjadikan PSG mengutip 76 mata daripada 35 perlawanan. Biarpun masih berbaki satu lagi perlawanan musim ini, jumlah pungutan mata itu sudah tidak dapat dipintas lagi oleh Lens yang berada di tangga kedua dengan kutipan 67 mata.

Sebagai rekod, ini merupakan trofi kedua dimiliki oleh PSG selepas menjulang Piala Super Perancis – menemukan juara Ligue 1 dan Coupe de France musim lalu – selepas menumpaskan Marseille menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 di Kuwait pada 8 Januari lalu.

Untuk makluman, PSG yang dimiliki oleh Qatar Sports Investments (QSI) mempunyai peluang untuk menamatkan musim ini dengan satu lagi gelaran iaitu juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Skuad yang turut dijuluki sebagai Les Parisiens ini akan turun berhadapan kelab Liga Perdana (PL) iaitu Arsenal bagi merebut kejuaraa UCL di Arena Puskas, Budapest pada 31hb Mei kelak.

Featured Image: Paris Saint-Germain

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd