10 Atlet Rebut Gelaran Olahragawan & Olahragawati ASN 2025
Hafiz Omar

Lima atlet lelaki dan lima atlet wanita telah disenarai pendek bagi merebut gelaran berprestij Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025.
Majlis ASN 2025 dijadualkan berlangsung pada Selasa, 19hb Mei 2026, bermula jam 9.30 pagi dan akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook serta Youtube Majlis Sukan Negara Malaysia.
Jawatankuasa Pemilihan ASN 2025 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Rahimi Ismail, menerima sebanyak 74 pencalonan merangkumi 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Pemilihan calon-calon akhir dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang atlet negara di pentas antarabangsa sepanjang tahun 2025.
Bagi Anugerah Olahragawan Kebangsaan, atlet wushu negara, Si Shin Peng mengetuai senarai pencalonan bersama empat lagi atlet iaitu Chen Tang Jie (badminton), Muhammad Khairi Abib Azhar (pencak silat), Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Abdul Aziz Ahmad (bina badan).
Sementara itu, Anugerah Olahragawati Kebangsaan menyaksikan persaingan melibatkan atlet wushu Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee, Emma Firyana Saroji (boling padang), Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling) serta Toh Ee Wei (badminton).
Bagi Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, jaguh para powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin mendahului senarai pencalonan bersama atlet para berbasikal, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin dan ikon para olahraga negara, Datuk Abdul Latif Romly.
Anugerah Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula menampilkan Jariah Zakaria (para boling padang), Lim Carmen (para renang) dan Parameswary Kashinathan (para menembak).
Pemenang bagi Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing bakal menerima sebuah piala, piala iringan, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.
Selain kategori utama, ASN 2025 turut mempertandingkan tujuh lagi kategori iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan serta Anugerah Khas.
Bagi Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan, tiga pasukan yang disenarai pendek ialah pasukan sepak takraw, tenpin boling dan beregu badminton negara iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. Manakala Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan menyaksikan pencalonan pasukan wushu, tenpin boling serta akuatik terjun negara.
Untuk Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan, calon yang disenarai pendek ialah Rosman Abdul Razak (badminton), Ahmad Jais Baharun (sepak takraw) dan Mohd Fauzi Khalid (pencak silat). Sementara itu, Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan menampilkan Nor Hamizah Abu Hassan (pencak silat), Wendy Chai (tenpin boling) dan Woon Sze Mei (para badminton).
Diperkenalkan sejak tahun 1966, Anugerah Sukan Negara merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan dalam menghargai kecemerlangan atlet, jurulatih, pegawai serta persatuan sukan kebangsaan yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa sepanjang tahun.