1,282 Sertai Kejohanan Pickleball Antarabangsa Skechers
Hafiz Omar

Kejohanan Pickleball Antrabangsa Skechers – Edisi Malaysia 2026 yang berlangsung di Tomaz Pickleball Club, Subang Jaya pada 8hb hingga 10hb Mei baru-baru ini berlangsung dengan meriah dengan penyertaan 1,282 pemain dari 14 negara serantau.
Kejohanan itu mempertandingkan kategori perseorangan lelaki, wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran dengan semua keputusan direkodkan menerusi sistem Dynamic Universal Pickleball Rating (DUPR) bagi menyumbang kepada ranking dunia pemain serta mata kelayakan Kejohanan Pickleball Dunia.
Dalam kategori perseorangan lelaki terbuka 19+, Phoenix He tampil cemerlang untuk muncul juara sekaligus membawa pulang wang tunai RM1,700 dengan Dylan Ooi dan Muhammad Aiman Hamdan melengkapkan kedudukan podium.
Jas Almaguer pula muncul juara kategori perseorangan wanita terbuka 19+ selepas mempamerkan aksi konsisten manakala Angie Bong dan Virvienica Bejosano masing-masing muncul naib juara dan tempat ketiga.
Dalam kategori beregu pula, pasangan Marco Leung-Vanshik Kapadia menjuarai beregu lelaki terbuka 19+ untuk membawa pulang wang tunai RM3,500 berserta dua pasang kasut Viper Court Pro.
Kategori beregu campuran terbuka 19+ pula dimenangi Man Kwan Wun-Syed Uzair Sufi dengan hadiah sama, manakala juara kategori 35+ bagi beregu lelaki dan beregu campuran masing-masing menerima RM3,000.
Kategori remaja bawah 18 tahun yang diperkenalkan buat kali pertama turut mencuri perhatian apabila Dzarif Dzakwan B Azizul Azhar meraih dua gelaran menerusi acara perseorangan lelaki dan beregu terbuka bawah 18 tahun bersama adiknya, Dzikri Dzakwan B Azizul Azhar.