Terengganu FC Tak Sertai Liga A1 Semi-Pro

May 18, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar


Kelab berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC (TFC) kekal beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak tanah air iaitu Liga Super pada musim hadapan.

Badan induk bola sepak di negeri itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan keputusan itu menerusi satu kenyataan oleh Setiausaha Agungnya, Ahmad Shahrizal Yahya yang disiarkan di akaun media sosialnya, hari ini.

“Hasil perbincangan dan penelitian yang telah dibuat, PBSNT pada prinsipnya bersetuju agar TFC terus kekal bersaing dalam saingan Liga Super Malaysia bagi musim akan datang.” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Presiden PBSNT merangkap Pengerusi TFC, YB Hishamuddin Abdul Karim menerusi satu kenyataan kepada pihak media sekitar pertengahan April lalu memaklumkan pihaknya sedang meneliti cadangan untuk membawa skuad Hitam Putih itu beraksi di divisyen kedua bola sepak tanah air, Liga A1 Semi-Pro pada musim hadapan.

Idea itu timbul bukan disebabkan TFC duduk di tangga tercorot Liga Super dan tersingkir tetapi disebabkan masalah kewangan yang membelenggu TFC – dilabelkannya bagaikan penyakit diabetes yang sentiasa berdarah dan tidak sembuh-sembuh.

Kenyataan beliau telah menimbulkan polemik dan perdebatan bukan sahaja dalam kalangan penyokong TFC bahkan peminat bola sepak tempatan secara keseluruhannya.

Sementara itu, Shahrizal dalam kenyataannya pada hari ini menyatakan PBSNT turut berpandangan bahawa TFC perlu melaksanakan proses penstrukturan dan pendekatan baharu melibatkan aspek pengurusan, kewangan, teknikal serta operasi bagi membina sebuah pasukan yang lebih stabil, mampan dan kompetitif untuk jangka masa panjang.

“Justeru, beberapa beban tanggungan yang sedia ada dari beberapa musim yang lalu dengan kumulatif keberhutangan kelab akan dijadikan satu keutamaan untuk menyusun penyelesaian secara berstruktur. Sementara itu, penyusunan perbelanjaan bagi musim semasa akan dikawal sebaik mungkin bagi mengukuhkan kemampanan kelab menghadapi cabaran mendatang.” tambahnya lagi.

Untuk makluman, TFC menamatkan kempen Liga Super 2025-26 di tangga kelima dengan mengutip 36 mata hasil mencetak 10 kemenangan dan enam keputusan seri.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd