Tang Jie-Ee Wei Dinobat Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2025
Hafiz Omar

Pasangan beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mencipta satu lagi detik gemilang dalam karier masing-masing apabila dinobat selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025.
Gelaran itu menjadi milik pemain berusia 28 dan 25 tahun masing-masing itu selepas berjaya merangkul gelaran juara di Kejohanan Dunia BWF 2025 selain mencipta nama sebagai pasangan Malaysia pertama yang merangkul gelaran juara bagi kategori tersebut.
Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sambil diiringi Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Pada masa yang sama, kejayaan Tang Jie dan Ee Wei dinobat selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan turut mencipta sejarah baharu ASN kerana ianya adalah kali pertama dua atlet daripada acara campuran diberi penghormatan memenangi dua anugerah utama.
Selaku pemenang, Tang Jie dan Ee Wei menerima piala pusingan, trofi dan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 setiap seorang.


Sementara itu, majlis yang sama turut menobatkan atlet para berbasikal negara, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan dan atlet para renang Lim Carmen selaku Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.
Yusof meraih gelaran itu setelah melakar sejarah muncul atlet para berbasikal pertama negara bergelar juara dunia menerusi acara pecut 200 meter kategori MC1 pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.
Carmen pula beraksi cemerlang dalam acara renang di Sukan Para ASEAN 2025 dengan meraih tujuh pingat emas dan memecahkan rekod temasya.
Lain-lain pemenang anugerah adalah seperti berikut:
- Pasukan Lelaki Kebangsaan: Skuad Sepak Takraw
- Pasukan Wanita Kebangsaan: Skuad Wushu (Duilian)
- Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Ahmad Jais Baharun (Sepak Takraw)
- Jurulatih Wanita Kebangsaan: Nor Hamizah Abu Hassan (Pencak Silat)
- Anugerah Khas:
- Allahyarham Datuk Hishamuddin Aun
- Kelab Renang Ikan Bilis
- Petronas
- Anugerah Kepimpinan Sukan: Datuk Mohd Sumali Reduan