Pengadil Qatar Adili Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2025-26

May 20, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Permohonan badan pengelola liga domestik, Malaysian Football League (MFL) untuk menggunakan pengadil dari luar negara untuk mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia 2025-26 dijawab oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada hari ini.

Menerusi satu kenyataan media, FAM meluluskan permohonan itu sambil mengumumkan pelantikan empat pegawai perlawanan dari Qatar untuk mengadili perlawanan yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC pada Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Keempat-empat individu itu terdiri daripada Mohammed Ahmed Al Shammari selaku Pengadil, Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2 masing-masing. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

Manakala seorang lagi ialah Meshari Ali Alshamari selaku Pengadil VAR. Dimaklumkan, kesemua mereka merupakan Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Antara perlawanan dan pentas berprofil tinggi di peringkat antarabangsa yang pernah diadili oleh pegawai-pegawai ini ialah Piala Dunia B-17 FIFA dan perlawanan akhir Piala Emir Qatar.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua FAM menggunakan khidmat pengadil luar negara bagi mengadili perlawanan akhir dalam kancah bola sepak tanah air selepas melantik pengadil Jepun untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019 yang menemukan Kedah FA dan Perak FA.

FEATURED IMAGE: Football Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd