Chelsea Uji Johor Darul Ta’zim Di SSI Pada 11 Ogos

May 20, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Juara Piala Dunia Kelab FIFA 2025, Chelsea mengumumkan akan turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 11hb Ogos 2026 – sepak mula jam 8 malam.

Perlawanan tersebut merupakan destinasi terakhir dalam siri jelajah pramusim Chelsea di rantau Asia Pasifik selepas bertemu Western Sydney Wanderers dan Tottenham Hotspur di Stadium Accor, Sydney; Juventus di Stadium Kai Tak, Hong Kong dan AC Milan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Menariknya, JDT yang merupakan juara Liga Super sebanyak 12 kali berturut-turut akan berhadapan dengan Chelsea bimbingan pengurus baharu, Xabi Alonso – mula bertugas pada 1hb Julai 2026.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Chelsea FC (@chelseafc)

Sesi jualan sulung tiket bagi perlawanan bersejarah ini akan ditawarkan menerusi prajualan yang dijadualkan pada Khamis (21hb Mei), jam 10 pagi (waktu Malaysia).

Penyokong yang layak untuk membeli pada jendela prajualan ini akan dihubungi melalui emel.

Sementara itu, jualan umum pula akan bermula pada Jumaat (22hb Mei) bermula jam 12 tengah hari (waktu Malaysia).

Dimaklumkan, harga tiket bermula dari RM154 hingga RM1,254.

Kali terakhir Chelsea berjulukan The Blues berkunjung ke Malaysia adalah pada tahun 2013 bertemu skuad pilihan Malaysia yang dibarisi Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha, Kunanlan, Zaquan Adha, Farizal Marlias dan lain-lain di Stadium Shah Alam.

Chelsea pada ketika itu di bawah bimbingan Jose Mourinho mencatatkan kemenangan 4-1 hasil jaringan Bertrand Traore, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Victor Moses. Gol saguhati skuad pilihan Malaysia pula dihasilkan oleh Fadhli Shas.

FEATURED IMAGE: Chelsea  

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd