Final Piala Malaysia: Kipas Tangan Elektronik Tidak Dibenarkan Ke Dalam Stadium

May 21, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kipas tangan elektronik menjadi salah satu barangan larangan untuk dibawa masuk ke dalam TM Stadium Nasional Bukit Jalil ketika berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia 2025-26 melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC pada Sabtu ini.

Senarai barangan larangan ke dalam stadium itu dikongsikan sendiri oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Haji Marsus menerusi satu kenyataan media sebanyak tiga muka surat yang dikeluarkan pada Rabu.

Selain daripada kipas tangan elektronik, terdapat 20 lagi barangan larangan ke dalam stadium yang disenaraikan oleh pihak polis. Barangan-barangan itu adalah seperti berikut:

  1. Dadah
  2. Mercun / bunga api / suar
  3. Topi keledar
  4. Laser
  5. Sebarang objek tajam
  6. Senjata seperti parang dan lain-lain yang merbahaya
  7. Minuman keras
  8. Payung
  9. Tongkat
  10. Powerbank
  11. Botol air
  12. Ais ketul
  13. Pemetik api / mancis
  14. Rokok / rokok elektronik
  15. Drone
  16. Pembesar suara
  17. Wisel
  18. Air horn
  19. Gendang (dengan kebenaran MFL)
  20. Apa-apa sahaja objek yang boleh memudaratkan mana-mana individu atau pihak

Dalam kenyataan yang sama, beliau menjangkakan perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-99 itu akan dihadiri seramai 30,000 hingga 40,000 penyokong. 

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan dan barangan akan dilakukan oleh petugas marshall di setiap pintu masuk stadium.” katanya sambil mengingatkan penonton dan penyokong agar tidak membawa masuk barangan-barangan yang dilarang.

Tambahnya lagi, semua pintu masuk stadium akan dibuka seawal jam 5 petang tertakluk kepada arahan semasa dan keadaan cuaca pada hari tersebut.

Disamping itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam ke stadium dan mengelakkan melalui jalan di sekitarnya jika tidak bertujuan untuk menonton perlawanan bola sepak bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Antara lain, beliau turut menasihati agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jala di sekitar stadium. Tindakan sama dan tunda akan diambil kepada mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas.

“Pihak PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang cuba mencetuskan kekacauan, rusuhan serta provokasi melampau semasa perlawanan mahupun selepas tamat perlawanan bola sepak ini berdasarkan peruntukan undang-undang semasa.” katanya lagi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd