Masters Malaysia: Arif-Roy King Kembali Jejak Pentas Separuh Akhir
Hafiz Omar

Beregu lelaki No.4 tanah air, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King kembali menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir Masters Malaysia selepas mengalahkan Chen Zhi Yi dan Presley Smith di suku akhir, pagi tadi.
Gandingan berusia 23 dan 25 tahun yang diletakkan sebagai pilihan kelima melakar kemenangan dengan bergaya ke atas beregu Amerika Syarikat itu menerusi skor 21-15 dan 21-19 dalam masa 33 minit.
Keputusan itu bukan sahaja membolehkan Arif-Roy King menempah tiket separuh akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 500 terbabit bahkan turut mengekalkan rekod tanpa kalah buat kali ketiga bertemu Zhi Yi-Smith.
Pada peringkat seterusnya, Arif-Roy King akan berhadapan dengan beregu Denmark yang diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard.
Pasangan yang menghuni ranking ke-18 dunia itu mara selepas mengejutkan juara Kejohanan Dunia 2021, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi dari Jepun menerusi skor 21-18 dan 21-14 dalam masa 37 minit.
Berdasarkan rekod, Arif-Roy King mempunyai rekod cemerlang bertemu Daniel-Mads. Mereka sudah pernah bertembung sebanyak empat kali dari tahun 2023 dan keempat-empat itu berjaya dimenangi Arif-Roy King.
Kali terakhir Arif-Roy King mara ke pentas separuh akhir Masters Malaysia adalah pada tahun 2024. Namun begitu, kempen mereka menemui noktahnya di separuh akhir susulan tewas di tangan Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen menerusi skor 13-21 dan 19-21 dalam masa 43 minit.
FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia