Izzah Ketuai Pasukan Lumba Basikal Trek Wanita – Team Cahya Mata
Hafiz Omar

Pemenang dua pingat emas Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri kini mengetuai pasukan lumba basikal trek wanita profesional, Team Cahya Mata bagi beraksi dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.
Pasukan yang mendapat tajaan daripada Cahya Mata Sarawak Berhad menerusi syarikat subsidiarinya, Cahya Mata Cement Sdn Bhd itu turut membariskan tiga lagi pelumba wanita berbakat tanah air iaitu Aliana Azizan, Anis Rosidi dan Amber Yong.
Penajaan ini berlangsung selama tiga tahun sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028. Inisiatif ini akan membantu pelumba-pelumba ini melayakkan diri ke temasya Olimpik dan mengangkat pelumba negara di pentas dunia.
Selain itu, ianya merupakan satu langkah berani Cahya Mata untuk memperkukuhkan jenamanya sambil menampilkan komitmennya terhadap prestasi dan daya tahan.
“Kami berbesar hati untuk menyokong mereka, dan membantu mereka untuk mencapai kejayaan yang lebih besar,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Dato’ Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib dalam sidang media di ibu negara, hari ini.
Pada masa yang sama, pembentukan Team Cahya Mata bukan sahaja mampu meningkatkan prestasi dan pengalaman keempat-empat pelumba wanita terbabit dengan penyertaan kejohanan antarabangsa yang lebih konsisten di peringkat elit.
Bahkan ianya membuka ruang buat pelumba-pelumba wanita untuk beraksi dalam acara berpasukan di pentas antarabangsa berbanding penumpuan terhadap acara individu sahaja setakat ini.
Untuk makluman, kolaborasi Cahya Mata bersama keempat-empat pelumba wanita negara ini diwakili oleh syarikat pengurusan, Aspire Marketing Management Sdn Bhd.