Terbuka Indonesia: Pang Ron-Pei Jing Melangkah Ke Pusingan 16

June 3, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran profesional, Hoo Pang Ron dan Lai Pei Jing mencetak kemaraan sulung ke pusingan 16 selepas melakar kemenangan ke atas Marwan Faza dan Aisyah Salsabila dalam perlawanan pertamanya di Terbuka Indonesia 2026, hari ini.

Kemaraan itu tercipta di kejohanan ketiga yang mereka sertai sejak kembali bergandingan bermula sekitar April lalu – selepas terkandas awal di Masters Malaysia 2026 dan Terbuka Singapura 2026 baru-baru ini. 

Pang Ron-Pei Jing yang menghuni ranking 253 dunia pada ketika ini menumpaskan lawannya yang berada di tangga ke-25 dunia itu menerusi skor 21-17 dan 21-19 dalam masa 31 minit.

Pada peringkat seterusnya, Pang Ron-Pei Jing akan menguji penghuni ranking ketiga dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.

Pasangan yang menjuarai Terbuka India 2026 pada Januari lalu mara selepas mengalahkan beregu Jepun, Yuichi Shimogami dan Sayaka Hobara menerusi skor 23-21, 19-21 dan 21-19 dalam masa satu jam dan enam minit.

FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd