Pindaan Statut FAM: Jawatan Timbalan Presiden Mansuh, Presiden MFL Automatik Isi Jawatan Naib Presiden

June 4, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kongres Luar Biasa (EGM) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Pertama 2026 menyaksikan satu perubahan baharu melibatkan struktur Jawatankuasa Eksekutif apabila para perwakilan sebulat suara mengundi meluluskan Statut FAM yang baharu selepas membuat pindaan, pada hari ini.

Statut baharu itu menyaksikan Jawatankuasa Eksekutif FAM kini mempunyai 11 kerusi sahaja berbanding 17 kerusi sebelum ini.

11 kerusi itu terdiri daripada jawatan seorang Presiden, tiga orang Naib Presiden, tiga wakil Persatuan Bola Sepak (FA) dan Ahli Gabungan, dua wakil kelab bola sepak (FC), seorang wakil wanita dan seorang ‘pakar’.

Ini bermakna dua kerusi Timbalan Presiden telah dimansuhkan sama sekali. Pada masa yang sama, struktur baharu itu turut memperuntukkan kerusi Naib Presiden 2 FAM diberikan secara automatik kepada Presiden Malaysian Football League (MFL).

Sementara itu, pencalonan untuk merebut setiap kerusi itu turut dipinda. Hanya empat pencalonan diperlukan untuk jawatan Presiden manakala tiga pencalonan bagi jawatan Naib Presiden. Untuk kerusi lain, hanya dua pencalonan diperlukan.

Sebagai perbandingan, Statut FAM sebelum ini mensyaratkan enam pencalonan bagi jawatan Presiden, lima pencalonan jawatan Timbalan Presiden, empat pencalonan jawatan Naib Presiden dan dua pencalonan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa (Exco).

Untuk makluman, komposisi Jawatankuasa Eksekutif yang baharu itu dicadangkan sendiri oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selari yang digunapakai oleh AFC sendiri dan badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sebagai tambahan, berikutan FAM ketiadaan Presiden pada saat ini, perwakilan meluluskan usul Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman melantik Setiausaha Agung (AFC), Datuk Seri Windsor John sebagai Pengerusi EGM dan memimpin perjalanan kongres pada hari ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd