Pindaan Statut FAM: Kelab Bola Sepak (FC) Diterima Sebagai Ahli Gabungan
Hafiz Omar
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menjadi sebuah badan induk yang inklusif apabila perwakilan-perwakilan sebulat suara mengundi meluluskan Statut FAM yang baharu dimana kelab-kelab bola sepak (FC) turut diterima sebagai Ahli Gabungan (Affiliates).
Sebelum ini, Ahli Gabungan bersifat eksklusif dengan hanya terdiri daripada Persatuan Bola Sepak (FA) Negeri, Persatuan Bola Sepak PDRM, Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, (Majlis Sukan India Malaysia (MISC), Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).

Statut FAM yang baharu itu menyaksikan ianya lebih terbuka kepada keseluruhan piramid bola sepak dalam negara. Menariknya, penyertaan ahli gabungan itu turut membabitkan Persatuan Pengadil apabila persatuan ianya diwujudkan kelak.
Penyertaan lebih ramai ahli gabungan khususnya kelab-kelab bola sepak bukan sahaja menjadikan FAM lebih inklusif bahkan mencerminkan ekosistem bola tanah air dalam badan induk sukan bola sepak negara.

Dalam kongres yang sama, pindaan Artikel 47 turut dilakukan melibatkan Jawatankuasa Tetap.
Sebelum ini, terdapat 15 Jawatankuasa Tetap namun Statut FAM yang baharu hanya menyenaraikan 11 Jawatankuasa Tetap terdiri daripada Jawatankuasa Kewangan dan Pentadbiran; Jawatankuasa Undang-Undang; Jawatankuasa Perubatan dan Sains Sukan; Jawatankuasa Pengadil; Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan; Jawatankuasa Integriti; Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan; Jawatankuasa Status Pemain; Jawatankuasa Media dan Pemasaran; Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan dan Jawatankuasa Penganjur bagi Pertandingan FAM.
FEATURED IMAGE: Football Association of Malaysia