Al-Ikhsan Lancar Kempen Football Fever 2026 – Tawar Barangan Rasmi Piala Dunia
Hafiz Omar

Bersempena dengan saingan Piala Dunia FIFA 2026 yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi, peruncit barangan sukan terbesar di Malaysia, Al-Ikhsan, tampil melancarkan Football Fever 2026.
Ianya merupakan sebuah kempen bola sepak nasional yang mengangkat Al-Ikhsan Sports sebagai “Home of Football” dan destinasi utama bagi peminat bola sepak sepanjang berlangsungnya Piala Dunia.
Kempen itu menyaksikan Al-ikhsan membawakan sebuah pengalaman membeli-belah dalam suasana kedai yang didekorasi dengan tema Piala Dunia FIFA. Dimaklumkan, Football Fever 2026 diaktifkan di 36 cawangan utama Al-Ikhsan Sports dan Football Republic di seluruh negara.


Tarikan utamanya adalah penawaran barangan dan cenderamata rasmi Piala Dunia FIFA 2026 dengan harga yang berpatutan seperti jersi, baju T, topi, payung, beg jinjing, bola mini, maskot mini, rantai kunci trofi piala dunia dan tumbler.
Selain itu, jersi samada “home” mahupun “away” pasukan-pasukan yang beraksi di Piala Dunia edisi ke-23 turut ditawarkan.
Tidak ketinggalan mereka juga turut menawarkan jersi kelab-kelab ternama eropah bagi musim baharu serta pelbagai barangan dan produk berkaitan bola sepak.
Pelancaran kempen Football Fever 2026 di The Curve pada Rabu turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas penyerang skuad kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Amri Yahyah serta penyokong-penyokong bola sepak tempatan.