Florentino Perez Kekal Pimpin Real Madrid Sehingga 2030
Hafiz Omar

Ahli perniagaan dan jurutera berusia 79 tahun, Florentino Perez kekal menduduki kerusi Presiden Real Madrid sehingga tahun 2030 selepas memenangi pemilihan yang berlangsung pada pagi tadi (waktu Malaysia).
Beliau mengekalkan jawatannya itu selepas meraih 65% undian daripada 33,555 ahli yang mengundi sekaligus mengalahkan pencabarnya, Enrique Riquelme yang sekadar mendapat 35% undian.
Ini merupakan kali pertama jawatan Presiden Real Madrid direbut selepas 20 tahun susulan Perez menang tanpa bertanding pada tahun 2009, 2013, 2017, 2021 dan 2025.
“Saya masih di sini, dan saya di sini untuk mempertahankan Real Madrid. Kami akan terus bekerja agar Real Madrid sentiasa memenangi gelaran, dan kami akan berjuang sehingga ke penghujung untuk meraih gelaran juara eropah kali ke-16.” katanya dalam ucapan selepas memenangi pemilihan yang berlangsung di Valdebebas.
Sebagai rekod, Perez mula memimpin Real Madrid pada Julai 2000 sebelum sekali lagi memenangi pemilihan pada tahun 2004. Bagaimanapun, dua tahun berikutnya, Perez mengundurkan diri secara sukarela.
Pada tahun 2009, Perez kembali semula sebagai Presiden Real Madrid dan membawa pemain-pemain berstatus bintang seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, Gareth Bale, James Rodriguez dan Toni Kroos.
Tempoh itu turut menyaksikan Real Madrid merangkul lima gelaran juara eropah dan lima kejuaraan dunia serta pelbagai trofi di pertandingan domestik.
Susulan kemenangan Perez pada pemilihan kali ini, Jose Mourinho hampir pasti akan kembali untuk membimbing Real Madrid sebagaimana diumumkan oleh Perez sebelum ini.
FEATURED IMAGE: Real Madrid