Hero UCL Liverpool Umum Persaraan Pada Usia 31 Tahun
Hafiz Omar
Penyerang yang menjaringkan gol kedua buat Liverpool sekaligus mengesahkan gelaran juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) buat kali keenam, Divock Origi mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak pada usia 31 tahun.
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di akaun Instagram peribadinya sambil menyatakan tujuannya sebagai pemain dalam sukan bola sepak sudah tercapai.
“Saya telah merealisasikan impian zaman kanak-kanak saya untuk bermain di kejohanan besar dan memenangi trofi paling berprestij. Saya bersyukur segala-galanya kepada tuhan.” tulis pemain kelahiran Belgium itu.
View this post on Instagram
Selain daripada jaringan ke atas Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir UCL itu, Origi turut diingati menerusi tandukannya selepas sepakan penjuru pantas yang dilakukan oleh Trent Alexander-Arnold ketika bertemu Barcelona pada separuh akhir UCL pada musim yang sama.
Paling tidak boleh dilupakan khususnya buat penyokong The Reds adalah jaringan tunggal Origi pada masa kecederaan ketika bertemu seteru setempat, Everton dalam saingan Liga Perdana (PL) 2018-19.
Untuk makluman, Origi merupakan produk akademi remaja Genk di Belgium namun memulakan karier profesionalnya bersama Lille di Perancis. Dia ditandatangani Liverpool pada 2014 namun dipinjamkan semula kepada Lille selama setahun.
View this post on Instagram
Origi menyarung jersi The Reds bermula musim 2015-16 namun pada musim 2017-18, Origi dipinjamkan kepada VfL Wolfsburg yang beraksi dalam kancah Bundesliga.
Selama bersama Liverpool, Origi yang seringkali memainkan peranan sebagai “super sub” khususnya dalam pertandingan piala kalah mati merekodkan 175 penampilan serta menjaringkan 41 gol.
Pada Julai 2022, Origi meneruskan kariernya bersama kelab ternama di Itali iaitu AC Milan sebelum dipinjamkan kepada Nottingham Forest bermula September 2023.
Pada Julai 2024 pula, Origi kembali semula ke AC Milan namun pada penghujung tahun lalu, Origi dan AC Milan mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak.
FEATURED IMAGE: Liverpool FC