Terbuka Australia: Tiga Beregu Campuran Kandas Pusingan 16

June 11, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Ketiga-tiga beregu campuran negara mengalami kekalahan di pusingan 16 sekaligus tiada sebarang wakil Malaysia akan mewarnai saingan di peringkat suku akhir Terbuka Australia 2026 pada hari esok.

Gandingan Hoo Pang Ron dan Lai Pei Jing menjadi yang pertama tersingkir pada hari ini apabila tewas di tangan pasangan Hong Kong, Chan Yin Chak dan Ng Tsz Yau menerusi skor 12-21 dan 8-21 dalam masa 25 minit.

Episod kekalahan wakil Malaysia itu diteruskan pula oleh Loo Bing Kun dan Noraqilah Maisarah.

Gandingan yang melakar kemenangan dalam tempoh 15 minit pada peringkat pusingan 32 semalam terpaksa akur dengan kehebatan beregu campuran No.1 dunia dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping – tewas 9-21 dan 8-21 dalam masa 30 minit.

Sepasang lagi wakil negara, Jimmy Wong dan Cheng Su Yin yang menduduki ranking ke-151 dunia hampir-hampir meloloskan diri ke peringkat suku akhir.

Jimmy-Su Yin yang berentap menentang beregu Thailand yang menghuni ranking ke-13 dunia, Ruttanapak Oupthong dan Jhenicha Sudjaipraparat bermula dengan langkah kiri – tewas 15-21 pada set pertama.

Bagaimanapun, pasangan yang mula bergandingan sejak awal Jun lalu berhasil bangkit dan mencipta kemenangan 21-15 pada set kedua.

Pada set ketiga, pertarungan berlangsung sengit sehingga membawa kepada skor “deuce” 20-20. Akan tetapi, ketika skor 21-20 berpihak kepada Ruttanapak-Jhenicha, kesilapan Jimmy telah memberikan mata kemenangan kepada lawannya dan menjadikan mereka tewas menerusi skor 20-22.

Untuk makluman, Malaysia mempunyai empat lagi wakil yang sedang bertarung untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir iaitu beregu wanita, Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah; perseorangan lelaki, Justin Hoh; perseorangan wanita, Wong Ling Ching dan beregu lelaki, Chia Weijie dan Teo Ee Yi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd