Piala Dunia: Jepun Curi 1 Mata Bertemu Belanda
Hafiz Omar

Pasukan No.1 Asia, Jepun berhasil mencuri satu mata daripada aksi pembukaannya ketika bertemu Belanda pada peringkat Kumpulan F, Piala Dunia FIFA 2026.
Perlawanan bermula dengan seimbang dimana Belanda dan Jepun saling melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang lawan masing-masing.
Namun begitu, anak-anak buah Ronald Koeman terlebih dahulu membuka jaringan menerusi tandukan menerusi kaptennya, Virgil Van Dijk pada minit ke-51 setelah menerima hantaran jauh daripada rakan sepasukannya di Liverpool, Ryan Gravenberch.
Selang tujuh minit kemudian, giliran Jepun pula menggegarkan jaring lawan apabila rembatan kencang Keito Nakamura daripada luar kotak penalti gagal dikekang Bart Verbruggen.
Tujuh minit selepas itu, Belanda kembali di hadapan apabila serangan yang dilancarkannya disudahkan dengan cemerlang oleh pemain sayap West Ham United, Crysencio Summerville menerusi rembatan kaki kirinya.
Tatkala Belanda merasakan dapat meraih tiga mata penuh daripada perlawanan ini, pendahuluan 2-1 itu menemui titik noktahnya selepas 25 minit sebelum asakan demi asakan Jepun bimbingan Hajime Moriyasu menemui jawapannya pada minit ke-89.
Pemain Crystal Palace, Daichi Kamada menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru oleh pemain gantian yang turut beraksi dalam Liga Belanda, Koki Ogawa.
Penyamaan itu diraikan dengan penuh semangat oleh pemain-pemain termasuk barisan pegawai dan pemain gantian di tepi padang diiringi sorakan gegak gempita penyokong-penyokong Samurai Biru di dalam Stadium Dallas tersebut.
Aksi seterusnya, Belanda akan turun menentang Sweden manakalan Jepun pula akan berentap dengan bertemu Tunisia pada 21hb Jun masing-masing.
FEATURED IMAGE: Japan Football Association