Piala Dunia: Gol Minit-Minit Akhir Diallo Ranapkan Rekod Tanpa Kalah Ecuador

June 15, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jaringan tunggal pemain sayap Manchester United, Amad Diallo memastikan Ivory Coast mengutip tiga mata penuh daripada aksi pertama peringkat Kumpulan E di Piala Dunia FIFA 2026.

Lebih dramatik, jaringan tunggal dalam perlawanan bertemu Ecuador itu terhasil di penghujung babak kedua permainan setelah menerima suapan daripada Wilfried Singo.

Ecuador bimbingan Sebastian Beccacece yang tersentak dengan jaringan lewat itu tidak mampu memberikan jawapan balas biarpun pengadil keempat, Khalid Saleh Al-Turais memberikan sembilan minit masa tambahan.

Ini merupakan kekalahan pertama dialami oleh Ecuador selepas mengharungi 19 perlawanan tanpa sebarang kekalahan sejak September 2024.

Perlawanan seterusnya, Ivory Coast akan membuat perhitungan dengan Jerman yang berpesta gol 7-1 ke atas Curacao awal pagi tadi, pada 21hb Jun.

Sementara itu, Ecuador pula akan turun bertemu Curacao pada tarikh yang sama.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd