Piala Dunia: Mesir Ikat Belgium
Hafiz Omar

Juara Afrika sebanyak tujuh kali, Mesir memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 dengan mengikat Belgium dengan keputusan 1-1, pada hari ini.
Aksi melibatkan Kumpulan G itu bermula dengan ledakan dari luar kotak penalti oleh Emam Ashour pada minit ke-20 selepas mendapat hantaran daripada Mohamed Salah.
Jaringan itu menyentak Belgium bimbingan Rudi Garcia dan memaksa mereka menggandakan serangan untuk mencari jaringan penyamaan.
Percubaan demi percubaan yang dilakukan tidak membuahkan hasil sehingga kedua-duanya masuk ke bilik persalinan untuk rehat separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, Garcia bertindak memasukkan penyerang, Romelu Lukaku pada minit ke-65 menggantikan Charles De Ketelaere.
Tidak menunggu lama, kemasukan pemain Napoli itu memberikan impak segera buat Belgium apabila pertahanan Mesir, Mohamed Hany yang mengawal Lukaku melakukan kesilapan tertampan bola ke dalam gawang sendiri sekaligus menjadikan kedudukan semasa seri 1-1.
Selepas daripada jaringan itu, Belgium melancarkan lagi serangan untuk mencari gol penyamaan namun ketangkasan Mostafa Shobeir mengawal gawangnya disamping kekentalan barisan pertahanan Mesir mengekang asakan memaksa skuad The Red Devils akur dengan keputusan seri 1-1.
Untuk aksi seterusnya, Belgium akan turun berhadapan Iran pada 22hb Jun. Manakala Mesir pula akan menguji New Zealand pada tarikh yang sama.
Featured Image: Belgian Red Devils Facebook