FAM Tamatkan Kontrak CEO Skuad Kebangsaan

June 18, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Khidmat bekas penyerang skuad kebangsaan Kanada, Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menemui titik noktah.

Beliau yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad bola sepak kebangsaaan dan memulakan tugasnya pada Januari 2025 telah ditamatkan kontraknya melalui persetujuan bersama.

Dimaklumkan, persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak antara Friend dan FAM telah berkuat kuasa pada 1hb Jun 2026.

Sebagai rekod, Friend merupakan individu pertama menjawat jawatan CEO Pasukan Kebangsaan setelah diperkenalkan jawatan itu susulan daripada “revolusi” Harimau Malaya.

Tugas utamanya adalah menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu Harimau Malaya yang turut dianggotai Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski dan Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan, Dr. Craig Duncan.  

“FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama pasukan kebangsaan.” tulis kenyataan FAM, hari ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd