Kelantan City FC Nama Baharu Bagi Kelantan WTS FC – Lantik Jurulatih Kelahiran Brazil
Hafiz Omar

Kelab Liga A1 Semi-Pro yang berpangkalan di pantai timur, Kelantan WTS FC kini dijenamakan semula sebagai Kelantan City FC sambil memperkenalkan logo baharu.
Penjenamaan semula dan pengenalan logo baharunya itu dikongsikan di akaun media sosialnya pada hari ini.
Berdasarkan grafik yang dikongsikan, logo itu dilihat menerima pengaruh logo Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Kelantan The Red Warriors (TRW) terutamanya menerusi penggunaan elemen-elemen seperti kijang, jata Negeri Kelantan serta warnanya.
Sementara itu, reka bentuk perisainya, kedudukan dua ekor kijang dan penggunaan riben putih diambil daripada logo Kelantan WTS FC.

Selain daripada pengenalan nama dan logo baharu, Kelantan City FC turut memperkenalkan barisan pegawai dan kejurulatihan yang baharu.
Wanderly Machado da Silva Junior dari Brazil diumumkan sebagai ketua jurulatihnya yang baharu bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro 2026-27.
Beliau mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam bola sepak profesional dan berkelana di pelbagai tempat merentasi Amerika Selatan, Eropah dan Asia. Beliau pernah berkelana di Thailand, Indonesia dan Malaysia – membimbing Kuala Lumpur FA pada musim 2016-17.
Wanderly akan dibantu beberapa legenda bola sepak Negeri Kelantan seperti Zairul Fitree Ishak (penolong ketua jurulatih), Farisham Ismail (penolong jurulatih), Daudsu Jamaluddin (jurulatih kecergasan) dan Shahrizan Ismail (jurulatih penjaga gol).
Sementara itu, bekas kapten yang membantu Kelantan TRW merangkul gelaran “treble” pada musim 2012, Badhri Radzi atau dikenali sebagai Piya pula berperanan sebagai Pengurus Pasukan bersama-sama Norfarhan Muhamad.
Pada musim lalu, Kelantan City FC (Kelantan WTS FC) menematkan kempen Liga A1 Semi-Pro di tangga ketujuh hasil mencetak 13 kemenangan dan lima keputusan seri daripada 28 perlawanan.
FEATURED IMAGE: Kelantan City FC