Piala Dunia: Sepanyol Temui Semula Sentuhan Gol

June 22, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Selepas memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 tanpa sebarang jaringan, Sepanyol merangkap juara edisi 2010 kembali menemui semula sentuhan golnya ketika bertemu Arab Saudi, awal pagi tadi.

Bahkan anak-anak buah Luis de la Fuente melakar kemenangan dengan berpesta gol sambil disaksikan 68,239 penonton di Stadium Atlanta sekaligus menutup mulut orang-orang yang meragui keupayaan Sepanyol di Piala Dunia kali ini. 

Jaringan pertama muncul menerusi Lamine Yamal pada minit ke-10 apabila menyudahkan hantaran lintang daripada penyerang Real Sociedad, Mikel Oyarzabal.

Tidak terhenti setakat itu, skuad berjulukan La Roja menggandakan kedudukan menerusi Oyarzabal pada minit ke-24 sebelum pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan gol kedua peribadinya selang tiga minit kemudian. 

Aksi separuh masa pertama berakhir dengan skor 3-0 memihak kepada Sepanyol.

Bersambung separuh masa kedua, tendangan kencang dalam kotak penalti oleh pemain baharu Real Madrid, Marc Cucurella terkena penjaga gol, Mohammed Al-Owais lalu melantun kepada pertahanan, Hassan Altambakti lalu tertampan ke dalam gawang Arab Saudi.

Situasi itu menjadikan Sepanyol mendahului 4-0 ke atas Arab Saudi dan kedudukan itu berkekalan sehingga pengadil dari Brazil, Raphael Claus meniup wisel menamatkan permainan.

Sepanyol kini mendahului Kumpulan H dengan 4 mata diikuti Uruguay dan Cape Verde yang berkongsi 2 mata di tangga kedua dan ketiga masing-masing. Arab Saudi pula di tangga tercorot dengan pungutan 1 mata sahaja.

Aksi seterusnya, Sepanyol akan berentap dengan Uruguay manakala Arab Saudi akan bertemu Cape Verde.

FEATURED IMAGE: Seleccion Espanola de Futbol

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd