Piala Dunia: Messi Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman, Mbappe Mengejar

June 23, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang handalan Argentina, Lionel Messi memahat namanya selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia FIFA ketika turun membantu pasukannya membenam Austria pada aksi kedua Kumpulan J di Piala Dunia FIFA 2026, awal pagi tadi.

Aksi yang berlangsung di Stadium Dallas itu berkesudahan dengan La Albiceleste mencetak kemenangan 2-0 dimana kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh Messi sekaligus mengumpul 18 gol daripada enam edisi Piala Dunia yang disertainya.

Pemain yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-39 pada hari esok berpeluang untuk memahat namanya selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman seawal minit ke-9 permainan namun sepakan penaltinya gagal menerjah ke dalam gawang.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FIFA World Cup (@fifaworldcup)

Bagaimanapun, rekod tersebut menjadi milik Messi jua apabila satu sepakan kencang dari dalam kotak penalti berhasil mengalahkan penjaga gol, Alexander Schlager pada minit ke-38 sekaligus membolehkan Argentina mendahului 1-0. 

Tidak terhenti setakat itu, Messi menambah satu lagi jaringan di penghujung permainan dengan mengambil peluang kekalutan yang berlaku dalam kotak penalti pihak lawan. 

Sementara itu, pertemuan yang melibatkan Perancis dan Senegal dalam Kumpulan I turut menyaksikan kapten merangkap penyerang prolifiknya, Kylian Mbappe menjaringkan dua gol membantu pasukannya mencatatkan kemenangan 3-0.

Dua gol itu terhasil pada minit ke-66 dan ke-90+5 sekaligus menyaksikan Mbappe mengumpul 16 gol daripada tiga edisi Piala Dunia yang disertainya sejak tahun 2018.

FEATURED IMAGE: Seleccion Argentina

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd