Cristiano Ronaldo Cipta Sejarah

June 24, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo muncul sebagai pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia secara berturut-turut.

Rekod itu menjelma selepas Ronaldo, 41 tahun, meledak dua gol ketika membantu Portugal membantai Uzbekistan pada aksi kedua peringkat Kumpulan K, awal pagi tadi.

Ronaldo yang kini beraksi bersama Al Nassr di Arab Saudi meledak gol pertama perlawanan seawal minit ke-6 menerusi satu rembatan kencang di dalam kotak penalti.

Manakala jaringan keduanya hadir pada minit ke-39, menyudahkan lorongan cantik daripada kapten Manchester United, Bruno Fernandes.

Perlawanan yang berakhir dengan Portugal melakar kemenangan 5-0 ke atas Uzbekistan itu turut menobatkan Ronaldo sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (MOTM).

Dua gol itu bukan sahaja membolehkan Ronaldo memahat sejarah baharu dalam kancah Piala Dunia bahkan menutup mulut terhadap pengkritik-pengkritiknya selepas gagal mencetak gol ketika aksi pembukaan Portugal bertemu Congo, Khamis lalu.

Sebagai rekod, Ronaldo yang mula beraksi dalam kancah Piala Dunia sejak edisi 2006 kini telah mengumpul 10 gol secara keseluruhan – Piala Dunia 2006 (1), Piala Dunia 2010 (1), Piala Dunia 2014 (1), Piala Dunia 2018 (4), Piala Dunia 2022 (1) dan Piala Dunia 2026 (2).

Ronaldo kini berkongsi statistik 10 gol berkenaan bersama-sama Harry Kane (England), Gabriel Batistuta (Argentina), Teofilo Cubillas (Peru), Grzegorz Lato (Poland), Gary Lineker (England), Thomas Muller (Jerman) dan Helmut Rahn (Jerman Barat).

FEATURED IMAGE: Selecoes de Portugal

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd