Bekas Pengendali Itali Bimbing Lazio

June 24, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Bekas pengendali skuad kebangsaan Itali, Gennaro Gattuso kembali melatih kelab Serie A apabila dinamakan sebagai ketua jurulatih baharu S.S. Lazio pada Selasa.

Namanya dipilih bagi menggantikan Maurizio Sarri yang dilepaskan oleh Lazio selepas menamatkan kempen Serie A musim 2025-26 di tangga kesembilan.

“Kelab mengalu-alukan ketibaan pengurus baharu dan percaya pengalaman, profesionalisme dan kesungguhannya akan membantu mencapai objektif kesukanan kelab.” tulis kenyataan Lazio. 

Pada awal April lalu, Gattuso, 48 tahun, meletakkan jawatannya sebagai pengendali Itali selepas juara dunia sebanyak empat kali itu gagal melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 2026.

Sejak berkecimpung dalam arena kejurulatihan pada tahun 2013, pencapaian terbaik Gattuso hadir pada tahun 2020 apabila membimbing Napoli menjuarai Coppa Italia.

FEATURED IMAGE:  S.S. Lazio

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd