LTdL 2026 Sertakan Pendakian Gunung Jerai, Langkawi Tidak Tersenarai
Hafiz Omar

Perlumbaan berbasikal jalan raya, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang akan berlangsung dari 27hb September hingga 4hb Oktober kelak menyajikan cabaran yang istimewa buat para pelumba sempena penganjuran edisi ke-30.
Ianya masih mengekalkan lapan peringkat perlumbaan namun kesemua laluannya hanya bertumpu di pantai barat Semenanjung Malaysia dengan jarak kayuhan keseluruhan 1,258.5 kilometer.
Buat pertama kalinya dalam sejarah sejak dianjurkan pada tahun 1996, pendakian Gunung Jerai diperkenalkan buat pertama kali di Peringkat Kedua – laluan yang bermula dari Taiping ke puncak Gunung Jerai.
Pendakian itu dilabelkan sebagai Kategori 1, namun permulaan mendaki dari paras laut (sea level) di kaki gunung ke ketinggian menghampiri 1000 meter pasti menjanjikan permulaan yang cukup mencabar.

Selain daripada pendakian ke puncak Gunung Jerai, edisi kali ini turut menampilkan dua lagi laluan pendakian iaitu ke tanah tinggi, Cameron Highlands (Peringkat 4) dan Genting Highlands (Peringkat 5).
Sementara itu, kayuhan di Pulau Langkawi tidak disertakan dalam edisi atas alasan kos. Ini termasuk kayuhan di negeri-negeri Pantai Timur mahupun Sarawak dan Sabah.
Senarai peringkat perlumbaan LTdL 2026 adalah seperti berikut:
- Peringkat 01 – Shah Alam ke Kampar (193.0KM) | 27hb September
- Peringkat 02 – Taiping ke Gunung Jerai (145.6KM) | 28hb September
- Peringkat 03 – Sungai Petani ke Kuala Kangsar (189.9KM) | 29 September
- Peringkat 04 – Meru Raya ke Cameron Highlands (140.1KM) | 30 September
- Peringkat 05 – Tapah ke Genting Highlands (125.7KM) | 1 Oktober
- Peringkat 06 – Pandan Indah ke Rembau (121.3KM) | 2 Oktober
- Peringkat 07 – Melaka ke Batu Pahat (159.1KM) | 3 Oktober
- Peringkat 08 – Muar ke Putrajaya (183.8KM) | 4 Oktober
Majlis pelancaran LTdL 2026 disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari di Menara KBS, Putrajaya pada hari ini.
Dalam majlis itu juga Taufiq mengumumkan penganjuran edisi kali ini diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Sebelum ini, terdapat cadangan untuk memberikan penganjuran LTdL 2026 kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia