Piala Dunia: Gol Minit 90+5 Martinelli Singkir Jepun
Hafiz Omar

Penyerang Arsenal yang masuk sebagai pemain gantian pada minit 65, Gabriel Martinelli menjadi hero yang mengesahkan kemaraan Brazil ke pusingan 16 di Piala Dunia FIFA 2026.
Lebih dramatik, jaringan kemenangan oleh pemain berusia 25 tahun itu muncul pada dalam masa kecederaan iaitu pada minit 90+5 setelah menerima hantaran daripada Bruno Guimaraes.
Gol itu menyentak semangat Jepun bimbingan Hajime Moriyasu dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga pengadil perlawanan dari Itali, Maurizio Mariani meniup wisel menamatkan permainan di Stadium Houston.
View this post on Instagram
Aksi yang disaksikan 68,777 penonton itu terlebih dahulu bermula dengan pendahuluan oleh skuad Samurai Biru menerusi jaringan pemain tengah yang beraksi dalam kancah Bundesliga, Kaishu Sano pada minit 29.
Pada masa yang sama, Jepun turut beraksi dengan baik pada separuh masa pertama dengan melakukan serangan bekualiti walaupun Brazil lebih mendominasi permainan.
Memasuki separuh masa kedua, Brazil kendalian Carlo Ancelotti bangkit dan tampil lebih agresif dan juara Piala Dunia sebanyak lima kali itu mendapat jaringan penyamaannya pada minit 56 menerusi tandukan pemain senior, Casemiro.
Peringkat seterusnya, Brazil akan menantikan cabaran samada daripada Ivory Coast atau Norway – kedua-dua pasukan ini akan bertarung pada awal pagi Rabu (waktu Malaysia).
FEATURED IMAGE: Confederação Brasileira de Futebol Facebook