Piala Dunia: Paraguay Singkir Juara 4 Kali

June 30, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kempen juara empat kali, Jerman di Piala Dunia FIFA 2026 menemui titik noktahnya di pusingan 32 setelah tewas di tangan Paraguay, sebentar tadi.

Lebih memalukan, skuad kendalian Julian Nagelsmann itu tewas menerusi penentuan sepakan penalti menerusi skor 3-4 selepas sepakan keenam oleh Jose Canale menerjah ke dalam gawang.

Ketika penentuan sepakan penalti itu, tiga pemain Jerman iaitu Kai Havertz, Nick Woltermade dan Jonathan Tah gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.

Dua daripadanya berhasil diselamatkan oleh penjaga gol, Orlanda Gill. 

Sebelum itu, Jerman dan Paraguay terikat 1-1 selepas beraksi selama 120 minit permainan sambil disaksikan 63,495 penonton di Stadium Boston.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FIFA World Cup (@fifaworldcup)

Semasa masa tambahan, Jerman berhasil mendapatkan gol pendahuluan pada minit 102 hasil tandukan Tah. Namun, pengadil perlawanan dari Maghribi, Jalal Jayed membatalkan gol itu selepas menyemak skrin Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan Waldemar Anton menghalang Gill.

Dalam 90 minit masa permainan sebenar, Paraguay terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Julio Enciso pada minit 42 sebelum Havertz menyamakan kedudukan pada minit 54.

Perlawanan ini turut dihiasi dengan layangan empat kuning oleh Jalal kepada Gustavo Alfaro (105+5’), Havertz (106’), Jamal Musiala (115’) dan Matias Galarza (117’).

Sebagai rekod, ini merupakan salah satu kempen yang memalukan buat Jerman selepas beraksi setakat peringkat kumpulan di Piala Dunia edisi 2018 dan 2022 yang lalu.

Sementara itu, Paraguay yang merekodkan kemenangan mara ke pusingan 16 dan menantinya di situ adalah samada Perancis atau Sweden yang akan membuat perhitungannya, pada pagi Rabu.

FEATURED IMAGE: Selección Paraguaya de Fútbol Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd